Sudah agak lama tidak menulis disebabkan sibuk dengan kerja seharian. Beberapa perkara yang tidak diduga berlaku membawa kepada ketidakpastian dalam merancang masa hadapan. Itu adalah sebahagian dari ujian kehidupan.
![]() |
Kredit gambar http://mynetwork.my |
Sebagai manusia, kita harus terus berusaha untuk membaiki diri. Kita mesti terus merancang dan melaksanakan apa yang telah dirancang. Bila apa yang dirancang tidak mengikut seperti apa yang dirancang, lihat kembali samada kelemahan pada pelan atau tindakan. Namun kadang - kala, ianya juga terjadi akibat dari faktor ketiga yang bukan di bawah kawalan kita.
Oleh kerana faktor ketiga yang diluar kawalan terjadi maka rancangan baru perlu diatur. Tidak perlu gusar. Yang penting kekal positif dan melihat ke hadapan. Setiap apa yang berlaku dalam hidup adalah pengalaman yang menyediakan diri untuk masa hadapan. Baik atau buruk ianya tetap pengalaman.
Dalam ketidakpastian, kehadiran Ramadhan membawa khabar gembira... berseri -seri wajah tersenyum lebar menerima sesampul surat yang begitu bermakna. Terasa khidmat bakti dihargai. Khabar akhirat tidak perlu dikatakan, terlalu banyak menanti bagi yang berpuasa dan berterusan beribadah dalam bulan mulia ini. Terus berjuang untuk mendapat redha Ilahi.
Ingat perkara yang paling lumayan dalam hidup adalah masa. Masa tidak boleh diputarkan kembali. Segala yang berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan. Kerana itu apabila kita memberikan masa untuk seseorang mahupun sesuatu, kita sebenarnya telah memberikan sesuatu yang paling berharga dalam hidup yang tidak mungkin dapat kembali.
Alhamdulillah... teruslah berdoa semoga Allah swt kabulkan doa - doa kita di bulan yang penuh mustajab doanya.
Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Ampunilah segala dosa ku yang dahulu, sekarang dan akan datang
Ampunilah segala dosa kedua orang tuaku, kasihanlah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil-kecil dahulu, Engkau jadilah kubur mereka sebahagian dari taman-taman syurgaMu, masukkanlah mereka dalam syurga FirdausMu tanpa hisab
Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengampun
Ampunilah dosa isteriku dan anak -anak ku, jadilah mereka anak-anak yang soleh, jadi mereka orang tetap menunaikan solat dan tetap dengan Al-Quran Nur Kareem
Ya Allah, permudahkan urusan duniaku dan akhiratku
Ya Allah, murahkan rezeki dan berkatilah rezekiku
Ya Allah, andainya sesuatu perkara itu baik untuk ku dan agamaku, kekalkanlah dan andai sebaliknya, gantikanlah pada sesuatu yang lebih baik.
Amin.
SirNoordin
Ramadhan Kareem, Brunei Darulsalam
No comments:
Post a Comment