22 Jam di Kilimanjaro: Antara Lelah, Takut dan Harapan
Pada ketinggian 5,700 meter, di Gilman's Point, Kilimanjaro, aku melihat seorang pendaki sedang dipapah turun. Jauh di bawah, sayup-sayup kelihatan Kibo Base Camp di sebalik awan.
Sudah 12 jam aku mendaki sejak summit push bermula tepat tengah malam. Kaki semakin longlai. Perut kosong. Namun perjalanan masih jauh. Aku perlu turun ke Kibo (4,730m), kemudian meneruskan perjalanan ke Horombo Camp (3,730m).
Jam 3 petang, akhirnya aku tiba di Kibo. 15 jam sudah berlalu.
Aku bancuh secawan Milo panas. Biskut kegemaranku kucicah perlahan-lahan. Ya Allah, nikmatnya! Dalam keadaan terlalu lapar, secawan Milo pun terasa seperti hidangan paling mewah di dunia.
Pasukan sokongan sudah lama turun ke Horombo untuk menyediakan makan malam.
Aku serba salah. Mahu menunggu pendaki lain atau terus turun?
Sejam aku menunggu. Tiada bayang sesiapa.
Tepat jam 4 petang, aku membuat keputusan. Aku turun bersama seorang assistant guide bernama Oscar.
Hari semakin gelap. Hanya kami berdua di tengah-tengah pergunungan Afrika.
"Oscar, ada singa di sini?"
Dia ketawa kecil.
"Cuaca terlalu sejuk. Singa tak naik sampai sini."
Aku lega. Sedikit.
Namun semakin lama berjalan, semakin berat langkahku. Horombo masih belum kelihatan. Badan terlalu letih. Fikiran mula merapu.
Kalau Oscar tinggalkan aku di sini, siapa yang tahu? Kalau dia bagi aku makan singa pun, siapa nak cari?
Oscar, lelaki Afrika setinggi lebih enam kaki, sebenarnya sangat menjaga aku.
"Another five to ten minutes, my friend!"
Entah beratus kali dia mengulang ayat itu.
Aku tersenyum sendiri. Inilah ayat yang selalu aku gunakan untuk memberi semangat kepada pendaki lain. Malam itu, aku pula menjadi mangsanya!
Akhirnya, selepas 22 jam mendaki dan menuruni Kilimanjaro, aku tiba di Horombo Camp.
Aku terus dibawa ke pondok. Nasi dan telur dihidangkan, tetapi seleraku sudah hilang. Aku rebah dengan pakaian penuh debu. Terus terlelap.
Kira-kira satu setengah jam kemudian, aku terdengar suara pendaki lain tiba. Ada yang terpaksa didukung. Ada yang meracau entah dalam bahasa apa.
Malam semakin larut.
Aku hanya berdiam diri di dalam sleeping bag. Terlalu letih untuk bangun. Terlalu lapar untuk tidur lena.
Malam itu aku belajar sesuatu. Kadangkala cabaran paling berat bukan ketika mendaki menuju puncak, tetapi ketika berjuang untuk pulang.
Dan malam itu, aku cuma mahu satu perkara.
Tidur. Tanpa perlu mendengar lagi ayat, "Another five to ten minutes!"