Friday, November 1, 2019

Kurang Motivasi - Stress??

Salam hormat 


Hidup ini bagai dilambung ombak lautan, terkadang di bawah dan ada ketikanya di atas. Ada ketikanya motivasi hidup begitu tinggi dan ada ketika kita tertanya2 di manakah hilang motivasi diri. Barangkali disebabkan oleh perkara2 yang mengecewakan kita - frust dengan kerja, pencapaian tidak dihargai, kecewa dengan rakan taulan mahupun diri sendiri. 
Sekadar gambar hias... Ini adalah kehidupan!

Sesuatu perkara yang mengecewakan berlaku biasanya diluar kawalan. Kita tidak mempu mengawal sesuatu yang bukan di bawah seliaan kita. Kita cuba yang terbaik namun jika ianya akan berlaku pasti berlaku. 

Ingat artikel 90 - 10 rule, kita mencuba sedayanya dan ada perkara jika  diberi 110% pun kalau bukan hak kita, tetap tidak akan jadi milik kita. Move on... 

Berbalik kepada "kurang motivasi" ... kita yang menentukan diri sendiri samada bermotivasi atau tidak. Kita yang mengubah kekecewaan kepada keindahan hidup. Cari sesuatu yang boleh menghiburkan hati kita. 

Sir  juga pernah merasai kecewa dengan kerja... bukan salah kita tapi dimarahi seolah2 kita yang bersalah walhal yang marah itu juga tahu perkara sebenar. Jika kita tidak dapat menyiapkan sesuatu perkara disebabkan perkara2 diluar kawalan... apa boleh buat lagi. Tambahan perkara2 luar kawalan seperti ini telah diklasifikasi sebagai risiko projek. 

Kenapa perlu marah? Kekadang2 boss kita marah bukan sebab dia tak tahu tetapi perlu tempat melepas geram di atas kebodohan sesuatu policy atau proses. Bukan sebab kita pun! Tak kan nak marah 'client' pulak ... client kan 'pay-master'. So bertabahlah... 

Dulu masa muda2, kita mencuba sedaya upaya untuk mengubah sesuatu yang tidak mungkin boleh diubah. Nak tunjuk yang kita sudah mencuba yang terbaik walhal dah tau keputusannya. Sambil naik darah tinggi untuk membuktikan kita telah mencuba. 

Bila sudah berpengalaman, lain pula caranya ... kalau dah tak boleh, that's it. Kalau nak suruh cuba, baiknya akan diusahakan tapi tidak pula memberi 100% kerana pengalaman mengatakan keputusan memang tidak boleh. Bezanya kali ini, tidak dibawa ke hati dan perasaan dalam menyelesaikan perkara yang tidak  boleh diselesaikan. 

Enjoy life! 

Betapa kuat kita berkerja sepenuh hati sehingga "menganuti" pelbagai penyakit amatlah tidak berbaloi. Di saat kita  sakit dan tidak mampu melaksanakan kerja tersebut, ada orang lain yang akan menggantikan tempat kita. 

Sir pernah lihat sendiri rakan2 menganuti mahzab ... perkara pertama - kerja, kedua - kerja;  ketiga - famili. Stress tahap gaban sehingga akhirnya pecah urat di kepala (mild stroke). Walaupun recover namun beliau sudah "tidak ingat sepenuhnya" yang akhirnya tidak melayakkan memegang jawatan tersebut. Syarikat perlu move -on, akhirnya beliau dilepaskan jawatannya. Menyesal dengan apa yang dilalauinya namun itu pilihannya; dan staff beliau yang dianggap 'tidak kuat berkerja' menjadi pengantinya. 

Work-Life Balance

Ketika baru kita mengerti erti kehidupan bahawa keluarga adalah segalanya. Mencapai impian sendiri lebih utama. Kerja sekadar melaksanakan tanggungjawap yang dibayar upahnya mengikut tempoh tertentu. Jangan jadikan setiap saat dalam kehidupan untuk berkerja walaupun business sendiri. Kita ada keluarga dan impian... 

https://www.indexadventure.com/everest-base-camp-trek

Pengalaman mengajar sir berkerja dengan 'betul' tanpa 'stress' ... dan masa2 yang  ada bersama keluarga, menyediakan diri untuk bertemu Maha Esa dan tidak lupa juga mengindahkan kehidupan dengan impian2 sir... Everest Basecamp dalam impian! 


SirNoordin
Berjuto impian ingin dilaksanakan.. 

Thursday, October 31, 2019

Annapurna Basecamp (ABC) Part 3

Salam Hormat


Hari Kelima (D5) - 25 Sep 2019



Deuralli 3200m


Walaupun terasa amat sejuk namun kami bangun awal hari ini. Hari ini hari yang penting kerana hari ini kami akan menuju ke destinasi terakhir iaitu Annapurna Basecamap 4130m. Bermakna kami perlu mendaki sejauh 900m altitude untuk sampai ke situ. 



#KoyokAdventureTeam at Annapurna basecamp

Selepas breakfast, Keshab memberi sedikit briefing tentang perjalanan hari ini. Katanya pada setengah pertama lebih banyak mendaki selepas itu agak mendatar ke atas. (Flat up) dan kami dijangka melalui satu kawasan lapang yang menjanji suatu pemandangan yang lebih menakjubkan. Seperti biasa berhati-hati apabila melintas anak2 sungai dan apabila menuruni curam. 
Ready for "#ABC attack"

Tepat jam 730 pagi kami bergerak menuju ke destinasi terakhir kami. #ABC here we come...  perasaan macam "summit  attack" semoga dipermudahkan. Kami akan mencapai altitude 4000m sebentar lagi. Selain dari cuaca sejuk dan berangin, cabaran terbaru adalah udara nipis. Kami sudah mulai merasakannya semasa tiba di Deuralli. Agak sukar untuk bernafas penuh... 

Selepas bergerak dalam 10 minit, kami bertemu dengan pendaki wanita berumur 70 tahun bersama guidenya. Sambil membawa 2 trekking poles, pelahan2 berjalan menuju #ABC. Suatu kekaguman melihat kesungguhannya dalam memenuhi 'bucket list' beliau. Sudah 8 hari beliau trekking (kami baru hari ke-4)... seorang itu mampu sampai ke puncak selama mana dia masih terus melangkah. Semoga berjaya! 


Stunning view

Seperti yang dijangkakan, kami sampai di kawasan lapang yang agak mendatar di kelilingi oleh puncak2 gunung dengan air terjun yang jatuh dari puncak gunung serta sungai yang mengalir deras. Seolah2 berada di kayangan... entahlah tak tahu hendak digambarkan cantiknya kawasan ini. Kami berehat seketika menikmati keindahan alam buana ini. 

Kelihatan pendaki2 lain sedang turun dari #ABC, heyy orang Malaysia lagi. Indahnya Malaysia berbilang kaum bersama bangga menjadi Malaysia di sini. Mereka berterusan berkata, "sikit2 lagi.. dah nak sampai... we pray for you brothers". Kami bergambar bersama jalur gemilang. 

Selepas dari kawasan lapang ini, kmai mellihat gua ice yang terbentuk yang masih belum mencair. Cuaca sejuk melambatkan kecairannya. Kembali mendaki menuju ke #MBC untuk perhentian seterusnya. Kami sampai di MBC - Shankar Guesthouse (3700m) jam 1030 pagi. Seperti biasa, secawan kopi panas berserta biskut dan kali ini..energy gel diperlukan bagi menambah kekuatan. Ha ha ha... 


Coffee break at MBC

Jam 11.00 pagi kami bersedia bergerak untuk "summit attack - #ABC attack"...  mengikut Keshab jarak perjalanan sekitar 2.5 jam. Permulaan perjalanan sedikit pendakian tetapi selepas 30 minit sekadar mendatar 'flat up'. Cabaran baru adalah udara terasa amat nipis. Kawasan lebih terbuka dengan kabus yang tebal dan angin kuat begitu sejuk menjamah tubuh badan.  Diulang, sangat sejuk sekali. Jarak pandangan sekadar 10 meter. Nafas tercungap2 mendapatkan kekurangan oksigen. Semua tidak berkata2, hanya sekadar fokus kepada jalan dan jalan pelahan2 sambil mengawal penafasan. 


Kabus, angin kencang dan udara nipis

Ini adalah cabaran yang paling hebat yang kami tempuhi...angin kencang yang sejuk, kabus tebal dan udara tipis mengoyahkan semangat. Kami hanya  terus melangkah dan melangkah... dalam hati terus berdoa tidak putus2 memohon diberi kekuatan dan kecekalan agar sampai hajat yang dituju. Dah sejauh ini kami sampai, jangan pula terpaksa berpatah balik dari sebab2 yang mungkin tidak dapat dielakkan. 


Fokus - Nampak jalan aje 

Err tak de gambar kira tak sampai - motto #KoyokAdventureTeam 

Apa jadipun kena bagi sampai... patah sayap bertongkap paruh...gunung tetap kudaki. ha  ha ha nak bagi semangat bimbang jika tak sampai kena "bahan" setahun. 

Didepan sir ialah Nazim, dibelakang Amir.... terus melangkah...sehingga tetiba ternampak papan tanda "Namaste Annapurna Basecamp" 4130m. dalam samar2 kabus. Rasa macam tidak percaya... jalan kedepan lagi untuk memastikannya. 

"Hey... kami dah sampai la... ", tetiba semangat kembali berkobar2. Langkah kami semakin laju sehingga yang memisahkan antara kami dan Signage itu adalah anak sungai kecil. Baru sir sedar betapa penatnya perjalanan apabila ingin melangkah anak sungai bagai tak lepas walhal kecil sahaja. 


Annapurna Basecamp @ABC 4130m

Alhamdulillah tepat 1.45 petang, detik bersejarah terakam dalam hidup ini. Kami berjaya sampai ke #AnnapurnaBaseCamp - #ABC. Kami bergambar merakam bukti -#TakdeGambarTakSampai sepuas2nya namun kabus tebal menghalang keindahan dirakam dengan sempurna. 
Detik bersejarah 1.45 pm kami sampai di #ABC

Kami bergerak ke Tea House di #ABC Santuary dan kami sedar kami masih perlu menaiki anak2 tangga yang ketika itu terasa begitu kejam sekali. Nafas keluar bagai asap rokok menanda sejuknya suasana. Alhamdulilah kami di sirami hujan selama 3 hari namun hari #ABC attack", tiada hujan memberi sedikit kelegaan. Andainya terjadi hujan tadi... walahualam.

Wajah2 bangga dan ceria
Bersiap2 untuk celebrate lunch di #ABC - nasi dan kari telur ha ha ini aje yang ada pun. Lepas makan kami kembali ke bilik kerana suasana diluar masih berkabus dan hujan renyai2. Sekitar jam 4.30 petang, tetiba cuaca agak cerah  kami terus mengambil kesempatan bergambar di sekitar kawasan. Untuk pertama kalinya dapat melihat dengan jelas Annapurna mountain 8091 meter and Fish Tail (Machhapurchchhre) mountain 6993 meter gagah berdiri di hadapan kami. Berselaput salji putih - snow cape dari puncak begitu menakjubkan sekali. Namun sekadar seketika sebelum ditutupi oleh kabus tebal, kata orang situ, Annapurna mountain sangat pemalu. 


Annapurna Sanctuary Lounge 

Dari Wikipedia - Annapurna is a massif in the Himalayas in north-central Nepal that includes one peak over 8,000 metres, thirteen peaks over 7,000 metres, and sixteen more over 6,000 metres. Annapurna is only the tenth tallest mountain in the world, but it ranks as one of the most dangerous

Kami disarankan untuk bangun seawal 5 pagi untuk melihat matahari naik memancar  cahaya kepada gunung2 ini yang akan bertukar menjadi warna kuning keemasan. Sejuk dah nie... esok pagi2 kita bergambar lagi. 



Dinner jam 6.15 petang- menu sama. Dah tak lalu nak cerita. Wifi tidak ada maka rancaklah kami berbual2 sesama kami berserta pendaki2 lain. Meriah sekali. Dalam kemeriahan rupanya ada diantara kami sudah terkena Attitude Mountain Sickness - AMS. Antara symptoms adalah tak lalu makan dan pening-pening. Risau juga kami dibuatnya, namun dia kembali normal setelah berehat malam itu juga. Alhamdulillah. 


Hari Keenam (D6) - 26 Sep 2019


#ABC 4130m - Deuralli - Himalaya - Upper Dovan - Bamboo - Sinuwa 2340m


Misi sudah berjaya. Hari ini agak santai namun seawal 630 pagi kami sudah berada di lereng2 bukit melihat keajaiban suasana pagi. Ramai juga pendaki berkumpul di sini untuk sama2 melihat keindahan ciptaan Tuhan. Wajah masing2 tersenyum girang tanda kejayaan. Bergambar bagai tak sudah2... puashati. Entah berapa ratus keping gambar dari 8 kamera hp, 3 unit Go-Pro, 1 unit 360 dan 2 camera DSLR. Iyelahkan nak sampai bukan senang, bila lagi nak rakam keindahan ini. Takut pula nanti dikatakan #TakdeGambarKiraTakSampai... ha ha ha... ambik kau!
Jalur Gemilang berkibar bangga

Kami kembali keruang makan untuk breakfast. Briefing pagi ini adalah kami akan turun terus ke Sinuwa tempat kami lunch pada hari ke-2  trekking. Dalam ertikata lain kami akan jalan hari ini pada jarak sejauh 2.5 hari naik. Wow... kami akan skip Dueralli dan Bamboo... tempat kami bermalam 2 hari lepas. Agaknya turun agak mudah sikit berbanding pendakian. . 
Sayu melihat keindahan alam


Penulis Blog

Tepat jam 8 pagi kami memulakan langkah meninggalkan #ABC. Rasa tidak puas melihat keindahan pergunungan di sini tapi apakan daya sekadar itu sahaja yang direzekikan untuk kami. Sekali lagi kami mengambil kesempatan untuk bergambar di Signage #ABC dalam suasana pagi dan berharap dapat mengambil gambar berlatar belakangkan Annapurna mountain yang pemalu itu. Malangnya Annapurna Mountain masih diliputi kabus ...setakat itu sahaja rezeki kami atau barangkali ingin menjemput datang lagi. Walahulam. 

Target hari ini target lunch di Upper Dovan dan bermalam di Sinuwa.. let's do it.
Insyallah ada rezeki kami sampai lagi

Hari ini kami berpeluang melihat pemandangan denai2 di perjalanan ke ABC yang kemarinnya berkabus tebal. Sayup mata memandang kehijauan rumput di sini berserta anak sungai mengalir turun pelaha. Kami berselisih dengan pendaki wanita tua kemarin dan beliau sudah menghampiri #ABC. Kami berkumpul mengucap tahniah buatnya. Hebat kesungguhannya dalam mengejar impiannya. 
Pendaki tua yang akhirnya sampai di #ABC

Sebelum kabus sampai

Langkah2 kami akan lancar menuruni dari #ABC sehingga sampai di #MBC dan ada yang singgah sebentar untuk toilet break. Sementara kami meneruskan perjalanan menuju ke Deuralli. Hujan mula turun dan agak lebat. Suasana kembali sejuk dan berkabus. Selepas 2.5  jam berjalan kami sampai di Deuralli. Kami  singgah sebentar minum kopi panas sementara yang lain meneruskan perjalanan turn dan berjanji bertemu di Upper Dovan untuk lunch. 


Deuralli - Coffee break

Hujan tidak menunjukkan tanda2 berhenti. Selepas  secawan kopi, kami membuka langkah untuk kembali mengejar yang lain dalam kesejukan. Langkah dipanjang semoga terasa hangat tubuh badan untuk mengelakkan kesejukkan. Oleh langkah semakin laju, penat cepat terasa namun perjalanan masih jauh. Yang tinggal hanya kami berempat iaitu Nazim, Singa, Keshab dan sir. Tetapi kami tahu mereka hanya sejauh 15-20 minit dihadapan dan  pasti akan berkumpul kembali dengan rakan2 lain di pit-stop seterusnya. Seperti yang dijangkakan kami bertemu di Himalaya dan mereka semua  baru selesai rehat dan minum kopi panas.
Faiz @ Penakluk Gunung

Upper Dovan - Lunch break

Meneruskan perjalanan menuju ke Upper Dovan. Trek masih menurun membantu kami untuk bergerak agak laju. Akhirnya kami sampai di Upper Dovan jam 1.30 petang selepas 5.5  jam trekking dalam keadaan basah kuyup dan kesejukan. Lunch pun sekadar  untuk mengalas perut. Selera agak kurang akibat dari kepenatan. Selesai lunch, kami terus  bergerak melepasi Bamboo menuju ke Sinuwa. Rasanya sudah tidak berapa jauh, barangkali 2.5 jam kot!! 
Kak Nona dari Brunei

Sinuwa

Menuju ke Sinuwa memberi cabaran baru buat kami - kembali mendaki. Ini merupakan saat yang paling menyeksakan. Tak teringat langsung bahawa dari Sinuwa dahulu menuruni bukit ke Bamboo (ketika itu hujan lebat, cuma bergerak sepantas mungkin ke Bamboo). Dan kali ini juga hujan lebat  tetapi terpaksa pula mendaki kembali ke Sinuwa. Terasa cabarannya setelah berjalan dalam jarak yang lebih jauh dari biasa, terpaksa mendaki dalam hujan dan kesejukkan. Selangkah demi selangkah begitu menyeksakan. 

Akhirnya kami sampai ke Sinuwa jam 5.15 petang dalam keadaan basah kuyup. Syukur alhamdulillah. Jumlah jam trekking hari ini ialah 9 jam 15 min. Kami turun dari 4130m ke 2340m bersamaan 1790m. Terasa oksigen kembali kepada 100%... puas bernafas walaupun kepenatan. 

Rye dari Philippines 

Selesai berehat, kami berkumpul di ruang makan. Terdapat ramai pendaki2 - ada yang menuju ke #ABC dan sebaliknya. Ada pendaki2 dari Germany, USA, Taiwan dan lain2 lagi. Ada juga yang solo trekking tanpa guide. Kami berbual-bual berkongsi cerita. Ada suatu kepuasaan kerana telah berjaya mencapai misi kami. Masa untuk memberi sokongan kepada yang lain pula. Walaupun letih, kami masih berbual2 hingga jam 9 malam. 



Hari Ketujuh (D7) - 27 Sep 2019

Sinuwa - Chomrong - Jhinu Danda (Hotsprings) - Gandruk - Pokhara 


Hari ini kami agak kelewatan. Plan breakfast jam 7 pagi tapi kami start 745 pagi. Keletihan. Semasa breakfast kami berbincang sekiranya kami boleh terus habiskan trekking hari ini juga dan terus balik ke Pokhara. Setelah berbincang, sebulat suara bersetuju untuk habiskan trekking hari ini juga tetapi tetap singgah sebentar di Jhinu Danda. Bermakna kami akan bergerak hingga ke Matque Dada - checkpoint untuk pick-up ke Pokhara. 

#KoyokAdventureTeam Boleh... tampal koyok banyak kat kaki, boleh tambah laju. 

Bro Nazim Macho


Chomrong - Coffee break

Jam 830 pagi kami mula bergerak. Cuaca agak baik tetapi berkabus. Cabaran hari ini kami akan mendaki kembali ke Chomrong - 2200 anak tangga yang kami turuni pada hari ke-dua trekking. Jam 1050 pagi kami sudah berada di Fishtail Guesthouse, Chomrong untuk berhenti rehat sebentar. Fishtail Guesthouse Chomrong adalah tempat tidur kami pada hari pertama trekking. Hujan kembali turun renyai-renyai. 

Bro Amir @Penjejak Badai


Jhinu Danda - Lunch break

Perjalanan turun di teruskan ke Jhinu Danda - berhenti lunch. Kami sampai jam 12.15 tenghari. Kali ini kami semua mencuba makanan tradisi Nepal iaitu Dal Baht. Wow  ternyata nyaman sekali. Semasa makan terbuka suatu cerita yang menjadi "bahan yang dinanti2kan" ha ha ha ... difahamkan salah seorang dari kami telah tersesat semasa menuruni dari Chomrong ke Jhinu Danda. Hampir setengah jam menyusuri jalan sendirian. Nasib baik, "kehilangan" beliau disedari oleh Keshab... yang akhir menunggu di persimpangan jalan. Kata orang sesat dihujung jalan kembali ke pangkal jalan. Berpeluh-peluh mungkin kerana penat ataupun rasa cuak jalan sendirian. Siapakah beliau?  Ha ha ha... biarlah menjadi rahsia! Boleh jadi "bahan bako" semasa TTS - Teh Tarik Session. 

Bro Hady Macho

Jhinu Danda - Hot springs

Selepas lunch, kami menurun bukit di Jhinu Danda untuk ke hot-springs yang mengambil masa hampir 30 minit. Terdapat banyak pacat di sepanjang trek. Wow dalam kesejukkan berjumpa kolam air panas begitu merehatkan badan. Mandi sebentar. Kembali mendaki ke Jhinu Danda. 
Bro Yukhairi @ SingaUtara ...dari Perlis

Jam 2.30 petang kami meneruskan perjalanan untuk ke final check-point iaitu Gandruk - Matque Dada dan akan melalui jambatan gantung 287 meter. Kali ini menuruni bukit sehingga ke jambatan gantung. Tepat jam 4 petang kami sudah berada di checkpoint Matque Dada. Alhamdulilah kami telah berjaya menghabiskan trekking ke #AnnapurnaBaseCamp dalam 6 hari trekking. Syukur semuanya berjaya sampai dan selamat kembali ke check-point. 


Matque Dada - Final check point 

SirNoordin penuils blog

Tukar pakaian bersih untuk menaiki Landrover untuk kembali ke Pokhara. Perjalanan memakan masa 4  jam. Terasa keletihan dan selelap ketika dalam perjalanan. Seram melihat cerun2 bukit yang curam jauh ke bawah gaung. Bagi kami yang tidak biasa dengan jalan2 seperti ini terasa mengerikan. Tambahan pula melihat mereka memandu di waktu malam berkabus menyukar mata untuk melihat. Namun kami yakin, mereka sudah biasa dengan suasana sebegini. 


Pokhara 

Kami sampai di Pokhara jam 8 malam dan check-in di City Inn hotel. Setiap orang memberi Myr50 atau 1500Npr sebagai tips buat adik2 porter. Selepas mandi, kami pergi makan mutton briani di Halal restoran di sekitar kawasan tersebut. Setelah bermalam tidur di Tea House, malam ini di hotel memberi ribuan keselesaan. 
Yeti Airlines

Kami menginap 2 malam di Pokhara. Pada hari Ahad 29 Sep jam 8 pagi kami sudah bergerak ke Airport Pokhara untuk ke Kathmandu. Sempat berehat2 di Kathamdu sebelum connecting flight  jam 1045 mlm Malindo OD181 ke Kuala Lumpur. Pada saat ini terasa keletihan yang amat sangat. Tidur disepanjang penerbangan. 

Pokhara Airport 

Tahniah diucapkan kepada rakan2 #KoyokAdventureTeam - Nazim, Amir, bro Hady, sis NonaElis, Faiz@PenaklukGunung, Yukhari@Singa Utara and sis Rye. Sesuatu pencapaian yang cemerlang bagi kami yang sudah 'otai' ini. Terimakasih kerana saling membantu dan memberi sokongan moral diantara satu sama lain. 


Our guide - Keshab

Thanks to our trusted guide Mr. Keshab from Index Adventure for taking good care of us throughout the journey. He is he owner of Index Adventure. Fully recommended for their Five star services.  Here is the link --> IndexAdventure.


Terimakasih kepada semua kaum keluarga & rakan-rakan di mana jua berada yang mendoakan keselamatan dan kejayaan disepanjang pengembaraan kami.. 


https://sirnoordin.blogspot.com/2019/10/annapurna-basecamp-abc-part-1.html
https://sirnoordin.blogspot.com/2019/10/annapurna-basecamp-abc-part-2.html


SirNoordin
"Mountains are caling and I must go"

Gambar2 dan video2 boleh di akses di FB Koyok AdventureTeam 
--> Just Like our FB group. 

https://www.facebook.com/309409106411333/posts/397116700973906/
https://www.facebook.com/309409106411333/posts/396226287729614/

Next plan: 
Mt. Pulag, Philippines (Mar 20), Mt. Fuji (Jun 20) & EBC - Everest Basecamp (Nov 20) 



Annapurna Basecamp (ABC) - Part 2

Salam hormat


Hari Ketiga (D3) - 23 Sep 2019



Chomrong 2150m


Tepat jam 7.00 pagi kami semua sudah bersiap - packing dan menuju ke ruang makan untuk breakfast. Hari ini breakfast sir makan Gurung bread with egg on top. Dengan sedikit garam (makanan di sini semua tawar)... begitu membuka selera. Tak lupa juga kopi panas sambil melihat  pemandangan pagi yang menakjubkan sekali. Bukan semua orang dapat merasa kenikmatan sebegini kan? Enjoy... 



#KoyokAdventureTeam

Briefing pagi dari Keshab mengatakan bahawa permulaan perjalanan agar mudah menuruni bukit sehingga ke  1,900m tetapi agak licin & merbahaya. Selepas itu melintas jambatan gantung sebelum kembali mendaki menuju ke Sinuwa untuk berhenti lunch. Selepas lunch kembali mendaki menuju ke Bamboo untuk hentian seterusnya. 



Menuruni 2200 anak tangga 

Seperti biasa, doa dibacakan bagi memberkati perjalanan kami. Tepat jam 8.30 pagi, kami  mula bergerak menurun tangga menyusuri kampung2 di Chomrong. Setiap rumah ada kebun2 kecil serta haiwan ternakan. Sungai2 kecik yang jernih airnya seolah2 memberi suatu kesempurnaan. Sesekali sekawan keldai pembawa barangan melintasi kami sambil dijerkah dari belakang oleh tuannya. Kami cuma sekadar berdiri dipinggiran jalan memberi ruang pada sekawan keldai melalui dahulu. Risau juga manalah tahu diterajang oleh sang keldai yang kepenatan. 
Kampung Chomrong

Perjalanan menurun hampir satu jam sebelum melintasi jambatan gantung. Dikatakan ada sebanyak 2,200 anak tangga tapi tak pasti kesahihannya. Jika  menurun tangga sudah selama ini, pasti menaik nanti jauh lebih teruk. Tak mengapa, itu hari ke-enam, tiba masanya nanti redah sahaja. Jambatan gantung kali ini tidaklah sepanjang dan setinggi jambatan gantung semalam. Kali ini yakin je meredahnya... tak gayat beb!



Jambatan Gantung... yang ni tak gayat

Selepas dari jambatan gantung, perjalanan lebih kepada mendaki dan mendaki sahaja. Kami mula memasuki kawasan hutan dan agak redup sekali. Air terjun dan sungai menjadi mainan mata, setiap beberapa minit pasti akan melintasi sungai2 kecil. Tenang sungguh suasana. Sekalil-sekala menuruni denai-denai yang agak curam. Sekitar jam 10.15 pagi kami berhenti rehat disebuah kedai kecil sambil menikmati secawan black tea. Tetiba kami melihat sekumpulan pendaki sedang menuruni bukit dan dari wajah2 mereka pastinya orang Malaysia. Yeah... benar. Rasa bangga bila bertemu dengan Malaysian ditempat2 begini. Mengikut cerita mereka, kesemua mereka berjaya sampai ke ABC dan cuaca agak berkabus. Thanks for the tips bro.


Setelah habis secawan black tea dan coklat bar penambah tenaga, kami meneruskan pendakian menuju Sinuwa. Sekali sekala melintasi anak sungai2 mengajir deras, sejuknya air sungai tidak terkata. Cuaca agak panas tetapi kami terlindung disebalik pokok hutan yang agak tinggi. Keletihan sudah mula terasa, mungkin sudah kelaparan... perlu carbo loading nie tetapi jauh lagi ke Sinuwa? Sambil layan lagu Wings - Misteri Mimpi Syakila ... mana Syakilla, aku pun tak tahuuuu.. wooo wooo ... mana Sinuwa? Aku pun tak larattttt whoo whooo.. 

Cuaca cerah dan panas terik

Alhamdulillah selepas 3.5 jam trekking, jam 12.00 tengahari kami tiba di Sinuwa Lounge ... terik matahari membakar diri terasa nyaman sekali dalam udara sejuk begini. Semoga tidak hujan sepanjang perjalanan ini. 



Sinuwa 2340m


Dalam keadaan yang letih begini, pasti tidak berselera.  Semangkuk Maggie panas berserta black tea panas pastinya membuka selera. Really make my day. Selepas menunaikan solat, kami bersedia bergerak untuk menuju ke Bamboo. Jam 1.15 pm kami meneruskan perjalanan. Cuaca agak sejuk walaupun disebalik teriknya matahari. Tidak sampai 30 minit kami terkking, cuaca tetiba berubah, terasa titisan hujan menembusi pokok2 hutan. Kabus sejuk mula menutupi suasana hutan, cerun2 curam sudah tidak kelihatan. Jarak pandangan sekadar 20-30 meter tetapi memandai untuk trekking namun keindahan suasana sudah hilang. 

Rehat sebentar setelah mendaki 

Berhenti seketika. Pakai rain-coat. Teruskan perjalanan. Mendaki dan terus mendaki. Tidak kelihatan di mana hujungnya pendakian ini. Terasa amat letih namun jika berhenti terasa sejuk pula. Terpaksa untuk terus  memaksa diri untuk mendaki sehinga sampai ke sebuah ruang seakan2 gua untuk berlindung dari hujan yang semakin lebat. Berhenti sebentar. Andainya ada kopi panas pastinya memberi satu keajaiban. Jarak pandangan sekadar 10-15 meter. Namun setiap wajah2 #KoyokAdventureTeam masih menunjukkan semangat juang yang tinggi. Keshab cakap, "sekitar 2 jam lagi untuk sampai Bamboo".



Hutan Bamboo.. hujan mula turun

Dalam hati mula berkata, 1.5 jam lagi... "pasti kuyup dan lencun dalam cuaca sejuk begini". Terasa semakin sejuk sehingga ketulang pada setiap minit kami tidak bergerak. Kami decide teruskan perjalanan, sekurang2 dapat memanaskan badan. Kami berselisih dengan ramai pendaki yang sedang menuruni dari arah ABC. Jalan agak berlecak. Harus berhati2 apabila melintasi sungai kerana batu2 sungai agak tidak stable. Rasa perjalanan agak menurun menuju ke Bamboo. Langkah kami semakin laju kerana perjalanan agak menurun. Oleh kerana hujan, sessi mengambil gambar agak berkurangan bagi route ini. 



Hujan tetap diredahi

Setiap 200 meter pasti jumpa air terjun

Alhamdulillah tepat jam 2.55 petang, kami selamat sampai di Bamboo. Cuaca sangat sejuk. Tetiba hujan turun dengan lebatnya. Syukur kami sempat sampai ke Tea House Bamboo dengan selamatnya. 


Chomrong (2150m) - 3.5 jam - Sinuwa (2340m) - 1 jam 40 min - Bamboo (2300m)



Bam
boo 2300m


Terus ke bilik air dan mandi air panas. Baru terasa sejuk hilang, namun setelah keluar  bilik air, sejuk hingga ketulang sum-sum. Tidak ada pilihan- buka sleeping bag terus masuk ke dalamnya. Takut terkena hypothermia (suhu badan menurun) akibat dari kesejukkan ini. Setelah 20 minit dalam sleeping bag baru terasa suhu badan kembali normal. Hujan masih turun dengan lebatnya. Terus ke ruang makan sambil minta secawan air panas - untuk buat milo dan maggie. Lega, dapatlah mengalas perut sementara tunggu dinner. 



Tea House di Bamboo 

Jam menunjukkan pukul 5 petang tetapi suasana agak gelap. Mungkin kerana hujan, mungkin juga Bamboo ini dikelilingi oleh gunung2 tinggi yang yang menyebabkan kurangnya cahaya  matahari mengenainya. Desiran air sungai yang mengalir begitu kuat sekali kedengarannya. Hampir jam 6 petang, hujan sudah mula berkurangan. Maka benarlah telahan sir, kawasan Bamboo ini dikelilingi oleh puncak2 gunung menjadikannya sebuah lembah. 


No Internet! 


Hot shower 200Npr;  Electric charging 200Npr


Tidak dapatlah kami menghubungi famili untuk menyampaikan tanda kami telah selamat sampai di Bamboo. Semoga tidak mereka di rumah tidak risau. Dinner ready jam 6 petang. Alhamdulillah dapat makan awal, maklumlah hari ini sekadar alas perut dengan semangkuk maggie. Kali ini nasi goreng telur menjadi pilihan pula dan rendang daging. Selepas makan, kami lepak di ruang makan. Berborak2 tentang cerita hari ini. Bila jadi terdesak, pelbagai ragam dapat dirakam yang akhirnya menjadi "bahan" yang mengelikan hati. Tidak berkecil hati kerana kami semua mempunyai satu impian yang sama - untuk sampai ke ABC. (err terakam di sini - walaupun ada kes belot membelot ha ha hanya kepada yang faham.... ) 



Kesejukkan... milo dan maggie terbaik

Selesai solat Isyak, malam masih terlalu awal walaupun ada yang sudah dilamun mimpi. Barangkali keletihan yang amat sangat. Kami pula terus berjaket tebal kembali ke ruang makan dan order secawan hot coklat berserta biskut menjadi alasan untuk terus berbual-bual. Sementara tokey Bamboo Tea House berserta saudara mara beliau sibuk bermain poker... rasanya aktiviti harian mereka di sini. Apa yang hendak dirisaukan, tiada bill yang perlu di bayar. Tiada orang yang akan call...  Life is easy, right. Ha ha ha... 


Sekitar jam 9 malam, kami balik ke bilik masing2. Terus masuk dalam sleeping bag, sejjuk beb... selamat  malam semua. 



Hari Keempat (D4) - 24 Sep 2019



Bamboo 2300m

Tepat jam 7 pagi, kami sudah bersedia di ruang makan untuk breakfast.... gurung bread with egg on top dengan black tea pilihan hari ini. Ha ha ha sebenarnya sehari kami makan benda yang sama baik breakfast, lunch dan dinner. Menu sama sahaja di semua tempat. Selepas makan sedikit briefing dari Keshab - pada sejam pertama banyak mendaki dan seterusnya flat up trekking. Perlu berhati2 ketika melintasi sungai kerana batu2nya tidak stable juga laluan trek agak sempit dan curam.

Tokey Bamboo dan anak2nya

Kami gerak awal hari ini untuk mengelakkan hujan yang biasanya turun sekitar jam 3 petang. Jam 7.30 pagi kami mula pendakian menuju ke Dueralli. Perjalanan ini melalui hutan Bamboo dan denai2 agak sempit serta cerun2 curam di tepi laluan berbanding dengan semalam. Namun begitu kami disajikan pemandangan yang sungguh menakjubkan sekali. Air terjun setinggi 200-300 meter kelihatan dari semua arah. Teringat filem Avatar, segitulah pemandangannya tanpa "floating mountain" seperti dalam filem Avatar... teramat  mengasyikkan melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Insaf dengan kebesaran dan kekuasaanNya.


Sesekali berselisih dengan pendaki2 yang menghala turun dari ABC. Berbual2 seketika bertanyakan situasi di atas sana. kebanyakkan pendaki mengatakan suasana agak berkabus dan sejuk. Perjalananan banyak mendaki ternyata meletihkan. 


Coffee break di Upper Dovan

Jam 930 pagi kami berhenti rehat  untuk secawan kopi panas di Upper Dovan (2505m) sebeluim meneruskan perjalanan menuju ke Himalaya. 


Entah berapa ribu anak tangga... terus medaki
Dari Upper Dovan ke Himalaya, perjalanan semakin mendaki kerana Himalaya setinggi 2900m bermakna dari Upper Dovan, kami perlu mendaki setinggi 400m altitude. Matahari membakar terik namun kedinginan begitu terasa. Hati masih berharap agar tidak hujan petang nanti. 
Jalan baru.. lebar sedikit


Himalaya 2900m

Tepat jam 1130 pagi kami sudah berada di Himalaya Guesthouse untuk berhenti lunch. Selera agak berkurangan akibat dari keletihan. Semangkuk maggie panas  dan secawan black tea panas memadai untuk mengalas perut. 


Lunch di Himalaya 

Jam 1235 tengahari kami meneruskan perjalanan ke Dueralli. Jarak perjalanan sekitar 2.5 jam dan kami jangkakan selewat2nya jam 3 petang sudah berada di Dueralli sebelum hujan. Harap2lah ... 

Berehat di bawah batu... setelah mendaki berjam2 dalam hujan

Trek kali ini agak bertangga batu naik ke atas. Tiba-tiba kabus tebal menutupi suasana barulah kami sedar hujan kembali turun. Jam menunjukkan 1.30 petang. Sekurang2 1.5 jam kami akan meredah hujan diketinggian hampir 3000m. Pada ketinggian ini, berkabus tebal, mengeletar kesejukkan ditambah pula dengan hujan. Hanya kekuatan semangat memberi rasa hangat dalam keinginan untuk ke Annapurna basecamp. 


Stunning view
Pelahan2 meneruskan perjalanan, tidak ada niat untuk berhenti sehingga terpapar sebuah pemandangan yang begitu menakjubkan disebalik titisan hujan. Gambar yang diambl tidak dapat memberi gambaran sepenuhnya. Pengalaman melihat, menjiwai dan merasai suasana tersebut memberi kesan yang mendalam. Perkampungan Dueralli sudah kelihatan disebalik bukit disebelah sana. Mungkin jarak masa dalam 40 minit lagi namun ianya sudah kelihatan menandakan kami semakin hampir. Yeahhh... 


Dueralli sudah kelihatan disebalik bukit

Walaupun meredah hujan namun semangat bertambah tinggi. Deuralli sudah kelihatan di sebalik bukit sana. Berjalan pelahan di tepi curaman bukit sambil menikmati keindahan beberapa air terjun yang mengajir menuju ke sungai di bawah sana deras alirannya. Ajaib sekali bila melihat aliran sungai deras pada ketinggian 3000 meter. Agaknya salji cair dari gunung2 sekitar Annapurna.


Signage Dueralli - basah lencun sejuk

Hujan masih tidak menunjukkan tanda2 hendak berhenti. Langkah semakin longlai. Alhamdulillah jam 2.30 petang, kami semua selamat sampai di Deuralli, 


Deuralli 3200m


Kami menginap di New Panorama Guest House  & Restaurant. Seperti biasa, terus mandi air panas dan terus pergi ke ruang makan. Secawan hot chocolate dan semangkuk maggie menghangatkan badan sementara menanti waktu dinner. 


View sekitar Deuralli 

Sekitar jam 5.30 petang, hujan berhenti dan kabus hilang seketika. Jelas kelihatan beberapa puncak gunung dan sungai mengalir deras di sekeliling Deuralli. Rasanya ini antara pemandangan yang paling menakjubkan kembali. Namun cuaca begitu sejuk sekali sehingga bercakap juga bagai berasap2 keluarnya. Tetiba kabus tebal muncul kembali menghilangkan keindahan pandangan tersebut dan kesejukan begitu terasa sekali. Selesai mengambil gambar terus masuk ke dalam ruang makan. 


Dinner
Dinner bermula jam 6 petang dan kali ini Keshab mencadangkan kari telur. Ternyata tidak mengecewakan, sedap sekali masakannya kari telur tersebut. Untuk makluman selepas dari ketinggian 3000m, mengikut kepercayaan orang2 sini - tidak dibolehkan makan binatang berdarah. Terpaksalah kami sorok rendang daging hihihi... Namun sekitar jam 8.00 mlm terasa lapar kembali. Layan Milo cecah biskut pula. Borak2 sambil update WA dengan gambar2 terkini selama 2 hari (di Bamboo tiada Wifi)... hari ini beratus gambar di upload untuk dikongsikan. 

Hot shower 250Npr  Wifi 300Npr Charging 200Npr

Bamboo (2300m) - 4 jam - Himalaya (2900m) - 2 jam - Deuralli (3200m) 

Ok rehat dulu. 

https://sirnoordin.blogspot.com/2019/10/annapurna-basecamp-abc-part-1.html
https://sirnoordin.blogspot.com/2019/10/annapurna-basecamp-abc-part-3.html


SirNoordin

Dueralli 3200m
#KoyokAdventureTeam


Gambar2 dan video2 boleh di akses di FB Koyok AdventureTeam --> Just Like our FB group. 

https://www.facebook.com/309409106411333/posts/397116700973906/

https://www.facebook.com/309409106411333/posts/396226287729614/

PENDAKIAN KE PUNCAK BENUA AFRIKA - KILIMANJARO (Bahagian 1)

PENDAKIAN KE PUNCAK BENUA AFRIKA - GUNUNG KILIMANJARO BAB 1 Hari 0 - 1 September 2023  Bandar Seri Begawan - Kuala Lumpur - Addis Ababa - Ta...