Salam hormat
Entah kenapa mata tidak mahu lelap... seolah-olah dibawa kembali ke masa lampau. Mengimbau kembali cerita-cerita kehidupan dan semuanya kelihatan bagai berlalu semalam. Kutulis agar boleh kurenung nanti.
Segalanya Bagai Semalam
Segalanya berlalu bagaikan semalam
Usia kecilku bagai menjelma dalam perasaan
Kulihat arwah bapa segak dan tampan
Kulihat arwah emak cantik rupawan
Mendiami rumah papan di lorong rambutan
Tempat bermain berlari dikejar itik angsa jiran
Mula persekolahan di Sek Temenggung Abdul Rahman
Sempat juga setahun di SK Sri Tebrau Taman Sentosa
Dari pagi sampai malam hanya bermain bola
Tahun enam tahun piala dunia
Itali jadi juara namun Brasil tetap pilihan selamanya
Segalanya berlalu bagai semalam
Menjelma pula diri di usia remaja
Masih pendiam dan tidak mengerti apa
Sekolah Dato Jaafar sekolah anak putra
Berilmu dan bersasa lambang kejayaan
4 Sains Kuning kelas pilihan
Namun takdir Tuhan tertulis sudah
Ke Butterworth kami berhijrah
Bersekolah pula di Sek Dato Onn Butterworth
Belajar sebut Kadir jadi Kadiaq
Bagan Lebai Tahir jadi Bagan Lebai Tiaq
Kepala semakin berputaq
Makan kegemaran dah jadi nasi kandaq
Tak lupa juga pasemboq Teluk Tawaq
Segalanya berlalu bagai semalam
Meneruskan pengajian di menara gading
Universiti Teknologi Malaysia tempat berjuang
Membawa sekalung harapan setinggi gunung
Sakit pening sendiri yang tanggung
Berserabut dan poket kosong memanjang
Hendak ke bandar JB pun tiada tambang
Belajar Taekwondo mengisi masa lapang
Pejam celik masa berlalu tiada perasan
Terimakasih ibubapa, guru dan rakan taulan
Segulung Ijazah sarjana sudah di tangan
Menjadi sandaran di alam perkerjaan
Segala berlalu bagai semalam
Tiada sempat menganggur kerja tersedia
Sudah rezeki agaknya
Berkhidmat sebagai jurutera di Perodua
Syarikat automotif kedua negara
Lahirlah kereta kancil "Sebijak Anda"
Banyak tugasan perlu dilaksana
Merantau serata dunia atas nama kerja
Terasa diri sudah bersedia
Kita merancang Tuhan menentukan
Bertemu jodoh dengan gadis idaman
Kini sudah lahir enam jejaka tampan
Penerus generasi masa hadapan
Segala berlalu bagai semalam
Semakin meningkat usia
Semakin menghampiri janjiNya
Mengimbau cerita-cerita kehidupan
Sambil merenung masa hadapan
Kalau usia Nabi saw jadi hitungan
Masih ada16 tahun nyawa dikandung badan
Entah sempat entah tidak ... Walahualam
Sementara bernyawa terus menabur bakti
Menjadi sandaran di akhirat nanti
Sambil menunai hasrat hati
Kembara serata dunia melihat ciptaan Ilahi
Moga diberi rezeki tak kunjung henti... Amin!
Wallahualam
SirNoordin