Salam hormat
Adat perantau, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.Merata dunia sudah sir jejaki, pelbagai karenah manusia telah sir temui. Lumrah kejadian makhluk bernama manusia, ada yang baik dan ada pula yang sebaliknya.
Sebagai perantau pula kita sering kali dipandang serong oleh rakyat setempat. Maklumlah orang asing bak datang ke negara mereka untuk mencari rezeki entahkan cara halal atau tidak. Atau barangkali juga, mengambil rezeki di tempat mereka dan dibawa pualng ke negara sendiri.
Cuba lihat pada kad pendaratan di negara Jepun, orang luar disebut sebagai 'alien' atau makhluk asing. Teringat drama popular lakunan Nordin Ahmad bertajuk Seri Mersing di mana Damak bermusafir ke Mersing dari Pahang mencari rezeki dipandang serong oleh seluruh orang2 kampung sehingga di akhirnya terdengar sepohon pantun dari Damak,
Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang hamba musafir lalu
Dari cerita ini kita boleh faham bahawa dari dahulu lagi sudah kedengaran pandangan serong penduduk setempat kepada orang yang bermusafir mencari rezeki. Begitu adat dan risiko yang dilalui sebagai perantau. Kita ini datang dan pergi, entah diterima entahkan tidak!
Mungkin ada yang berfikiran bahawa 'orang kerja luar negara, duitnya berkepuk'. Pertama kita kena ingat bahawa jodoh pertemuan, rezeki dan ajal itu hak Allah swt. Kedua, rezeki itu luas pada dasar definasinya. Rezeki itu bukan sekadar wang ringgit. Nikmat kesihatan, kebahagian, ketenangan, anak2 yang soleh & solehan, nikmat bersama keluarga dan saudara-mara itu juga rezeki.
Cuba tanya orang2 bermusafir yang mencari rezeki di negara orang tentang apakah yang dilalui mereka. Pastinya mereka akan berkata, rindu benar pada tanahair, apakan daya di sini tempat aku mencari rezeki. Hujan emas negara orang, hujan batu negara sendiri.
Tambahan pada zaman Covid19 ini, berapa ramai yang tidak dapat pulang ke tanahair bertemu keluarga - ibubapa, anak isteri, saudara mara dan rakan taulan. Ada yang berkecur air liur teringin makan masakan enak2 di bumi Malaysia malahan masakan ibu dan isteri yang tiada tandingannya.
Tambahan pula jika ada kecemasan, contohnya kematian orang2 yang rapat, kita hanya sekadar mampu menerima berita dan menitis airmata kerana tidak ada keupayaan untuk kembali memberi penghormatan terakhir. Habis2pun sekadar sedekah al-Fatihah. Sir tahu kerana telah melalui suatu ketika dahulu ketika berada di Khartoum, Sudan. Sir mendapat berita tentang kematian arwah abang Aziz, sir sekadar terduduk menerima berita dan menitis airmata. Pada kali kedua mendapat berita arwah abang Noor dalam keadaan nazak, sir hanya sempat mendapat di KLIA dan mendapat berita pemergiaannya. Dalam situasi Covid19 sekarang jika perkara seperti ini berlaku, kita hanya sekadar mempu mendengar, menangis dan redha atas ketentuannya.
Kebanyakkan orang yang berkerja di luar negara, biasalah sekadar kontrak bukan berjawatan tetap. Bermakna ada risiko yang ditanggung pada setiap hujung kontrak pasti terfikir apakah kontrak akan disambung ataupun tidak. Terpaksa pulang ke tanahair atau berhijrah ke negara lain dan memulakan kehidupan baru semula.
Memulakan kehidupan baru dalam sesebuah negara baru amatlah tidak mudah dan menyenangkan. Persoalan adaptasi anak2 kepada suasana baru tidak mudah. Baru ada kawan rapat di negara sebelum ini tetiba harus berpisah. Berpindah pula ke negara baru, perlu memulakan semuanya semula. Anak2 tidak faham kenapa kita perlu berhijrah. Terpaksa pula berurusan dengan phisikologi anak2. Tidak mudah.
Masing2 ada rezeki yang telah ditentukan sejak azali.
Sekian lama sir merantau, sir amat bangga dengan orang Malaysia yang pandai membawa diri bak kata orang tua2 dahulu, masuk kandang kambing mengembek! Orang Malaysia mudah bergaul dengan warga tempatan berbanding dengan bangsa2 lain di dunia, mereka cuma bergaul sesama mereka, Agaknya masih kuat berpegang dengan pepatah orang tua2 dulu. Biar kambing di mulut tetap harimau di perut atau pepatah orang Minangkabau - "Sungguhpun harimau dalam paruik, kambing jua nan musti", dalam bahasa Malaysia berbunyi, "Sungguhpun harimau di perut, kambing juga mesti dikeluarkan". Berkata2 yang baik walaupun mengelegak menyimpan keburukan/ kemarahan.
Namun itu ada rezeki yang telah ditakdirkan oleh Allah buat kami perantau. Kami redha dan kami harungi dengan penuh kekuatan dan tawaduk. Sesungguh segala yang baik dariNya jua. Semoga dipermudahkan segala urusan.
SirNoordin
Bandar Seri Begawan