Wednesday, May 13, 2020

Gadis Langkasuka

Salam hormat


Entah kenapa pagi ini teringat suatu kenangan bersama Gadis Langkasuka... suatu kenangan yang begitu mengusik jiwa pada saat keremajaan sir. 


Gambar di dek Gadis Langkasuka - usia 17 tahun

Hmm.. jangan salah faham! MV. Gadis Langkasuka merupakan sebuah kapal persiaran yang berpangkalan di Pulau Pinang. Route pelayaran dari Penang - Belawan (Medan) - Langkawi - Phuket. Pernah juga ke Acheh (Lhokseumawe). M.V bermaksud Malaysian Vessel. 

Kapal ini mula beroperasi 1984 membawa penumpang, kenderaan dan kargo spt. sayuran dari Medan ke Penang. Kapal ini lengkap dengan kabin tidur, cafe dan tempat duduk penumpang. Kalau tak silap boleh membawa sekitar 350 penumpang dalam satu2 masa selain dari ruang kargo. 


MV Gadis Langkasuka - gambar dari blog GadisLangkasuka

Bapa mula bertugas sebagai Captain di kapal tersebut pada tahun 1987 yang juga antara sebab kami berpindah dari Johor Bahru ke Butterworth. Kami berpeluang ikut bapa belayar dalam kapal ke Medan dan juga Langkawi. Selain dari itu, syarikat ini juga menyediakan  pakej2 pelancongan ke Medan dengan belayar dari Penang. Amat menarik sekali! 

Sir sering kali ikut kapal belayar ke Langkawi kerana kebetulan kapal belayar hari Jumaat malam dan belayar pulang hari Ahad petang. Kalau tak silap, kapal akan berlabuh di Teluk Ewa, Langkawi. Biasanya dari Penang, banyak kereta persendirian dan bas persiaran akan turun di sini dan meneruskan melancong di Langkawi. Biasanya kami akan mandi laut di Teluk Ewa atau Teluk Yu. Dari kapal, kami menaiki perahu kecil - dinghy. Setelah mandi, kami akan turun ke pekan Kuah untuk berjalan-jalan. Ketika itu, pulau Langkawi tidak seperti sekarang... pembangunan amat jauh ke belakang. 

Usia 17 tahun belajar berkerja di kapal. Mabuk laut... alhamdulillah tidak pernah kerana mungkin dari kecil sudah terdedah dengan kehidupan laut. Sebelum belayar ikut kapal Gadis Langkasuka, pernah ikut belayar dengan kapal karga MV Luconia (kalau tak silap... masa belayar ketika itu, ombak kuat... sir cuma duduk dalam bilik bapa. Takut tengok ombak begitu tinggi...err tak mabuk eik! 


Bersama bapa dan adik2 di depan kapal

Suatu kenangan manis ketika itu kami baru berpindah ke Butterworth. Tidak ramai kawan lagi. Hampir setiap masa sir ikut belayar jadi anak kapal ke Langkawi mahupun ke Medan. Sepanjang pengalaman sir belayar sempat jumpa dengan artis hebat masa tu... Jamal Abdillah, Jamalul Hayat (adik Jamal), Melissa Saila (entah betul tak nama nie) ha ha ha ..

Ada suatu ketika itu, kapal berlabuh di Teluk Ewa, Langkawi... bapa a.k.a Captain arahkan crew untuk buat latihan kecemasan. Antara latihan ialah terjun dari kapal ke laut... itupun pilih tempat yang paling rendah (dekat dengan laut), paling kurang 7 - 10 meter dari aras laut. Sebelum terjun, kami belajar cara2 terjun dengan betul sambil memakai life-jacket. Seorang demi seorang mula terjun atas arahan Captain.... bila terjun dari ketinggian tersebut, bererti semakin dalam kita jatuh sebelum timbul kembali. Wow pengalaman yang menarik walaupun terketar-ketar kerana ketakutan. 

Yang menariknya ada seorang kelasi kapal (tukang masak), juga terjun walaupun tidak tahu berenang. Walaupun memakai life-jacket, namun jika tidak pandai berenang pasti agak tidak terkawal. Beliau seakan-akan lemas. Terus anak2 kapal lain menyelamatkan beliau. 

Bapa bertanya, "kamu tidak boleh berenang?". Jawap beliau, "maaf capt, tidak tahu". 

"Kalau tidak tahu berenang, kenapa terjun?", tanya bapa. Sambil terketar-ketar, jawap beliau, "dah captain suruh terjun... saya terjun lah". Habis semua anak kapal tergelak besar. Bapa suruh buat kopi panas untuk beliau. Pesan bapa, "nak jadi anak kapal mesti pandai berenang. Lepas ni wajib belajar berenang"

Kerja sebagai anak kapal rasa awesome. Dapat belayar melihat negara orang, dapat berkenalan dengan pelbagai bangsa dunia, sibuk macam tak sibuk... kerja idaman yang tidak diizinkan oleh orang tua. 



MV Gadis Langkasuka - gambar dari blog GadisLangkasuka

Bila free-time, kami memancing dari kapal. Dapat ikan terus je goreng. Manis betul ikan goreng tersebut. Dari laut terus ke kuali panas. Bila dalam pelayaran terasa tenang melihat lautan walau ada ketikanya ombak begitu besar dan hujan ribut. Pernah juga melihat ikan dolphin berenang sekawan ketika kapal mula menghampiri pelabuhan Belawan, Medan. 

Ketika ini sir betul2 belajar berbahasa English dengan tourist merata dunia. Confident mesti ada walaupun broken! Yang penting, mesej sampai bererti kita sudah berkomunikasi dengan baik.. 

Walaupun hajat sir untuk menjadi Captain tidak tercapai dan juga tidak mendapat restu dari bapa. Namun pengalaman 'adventure'  belayar kapal begitu mengujakan. Insyallah ada rezeki sir akan belayar kapal lagi bukan sebagai anak kapal tetapi sebagai penumpang. Sambil menghirup udara segar lautan 'sea breeze' dan menikmati ketenangan lautan. 

Terjumpa link Gadis Langkasuka


SirNoordin-1987

PENDAKIAN KE PUNCAK BENUA AFRIKA - KILIMANJARO (Bahagian 1)

PENDAKIAN KE PUNCAK BENUA AFRIKA - GUNUNG KILIMANJARO BAB 1 Hari 0 - 1 September 2023  Bandar Seri Begawan - Kuala Lumpur - Addis Ababa - Ta...