Monday, September 28, 2015

MENTERNAK GENERASI DERHAKA

Salam Hormat


Akhir-akhir ini banyak cerita yang berlegar-legar di media sosial tentang anak-anak sekarang semakin nakal dan kurang ajar. Apa puncanya? Adakah anak itu tiba-tiba kurang ajar begitu sahaja? Tentu tidak bukan, ianya memakan masa yang panjang yang tanpa sengaja terdidik untuk mereka menjadi kurang ajar malahan mencapai derhaka! 

Mari kita balik pada asas dengan iaitu berpandukan sabda Nabi saw, "Setiap anak lahir itu umpama kain putih (fitrah), ibubapalah yang bertanggungjawap untuk mewarnakan dan mencorakkan samada Yahudi, Nasrani atau Majusi... " Riwayat Bukhari dan Muslim.

Persoalannya, apakah warna dan corak yang kita lakarkan pada kain putih tersebut? Apakah warna kehidupan yang kita inginkan anak-anak bawa? 


Kunci yang pertama...

Malahan tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa persoalan ini haruslah dijawap sebelum sesuatu pasangan tersebut menyusuri alam perkahwinan. Pastinya setiap pasangan inginkan anak-anak yang soleh dan solehah tetapi adakah acuan yang kita sediakan untuk mereka juga soleh dan solehah? Dari awal kelahiran, setiap anak akan mengikuti tingkah laku kita... pepatah Melayu juga mengingatkan kita, "bapa bodek anak rintik". Pastikan diri kita berusaha menjadi insan yang soleh agar anak-anak yang lahir akan sendirinya dicorakkan oleh tingkah laku orang-orang yang soleh. Pada ketika ini idola anak-anak adalah anda sendiri! 

Oh! saya sudah terlepas kunci yang pertama maklumlah kesedaran baru hadir dalam hidup, terlambatkah saya? Anak-anak saya amat nakal dan ada yang pernah derhaka pada kami? 

Tidak ada istilah terlambat dalam hidup selama mana kita ingin mempunyai keazaman dan berusaha untuk menambahbaikan diri, keluarga dan masyarakat. 


Kunci yang kedua...

Balik pada persoalan pertama adakah anak-anak tiba derhaka? Tentu tidak, mereka melalui satu corak kehidupan tanpa sedar menjadikan mereka kurang ajar malahan derhaka. Apakah punca yang menjadikan corak kehidupan tersebut? Apakah kita yang bertanggungjawap menternak generasi derhaka? 

Setiap perkara pasti ada permulaan dan pengakhirannya. Untuk menjadi derhaka juga memakan masa yang panjang kerana berpaksikan sikap yang dibentuk sekian waktu! Teringat saya kata-kata orang bijakpandai, 

"Berhati-hati dalam permikiranmu kerana ia akan menjadi kata-katamu
Berhati-hati dalam kata-katamu kerana ia akan menjadi perbualanmu
Berhati-hati dalam perbualanmu kerana ia akan menjadi perbuatanmu
Berhati-hati dalam perbuatanmu kerana ia akan menjadi sikapmu"


Kata mutiara yang menggambarkan perjalanan sesuatu perkara untuk membentuk sikap! 

Contoh mudah tanpa sedar kita mencetuskan sikap kurang ajar? 

Katakan si ayah mengejut anak bangun solat subuh, si ibu pula menyampuk mengatakan 'alaa kasihan kat budak tu kat asrama tentulah kena bangun awal, kat rumah biarlah dia rehat tidur'

Ini adalah contoh permulaan tanpa sedar kita membentuk sikap kurang ajar dalam diri anak. Mana tidaknya, kita telah mengajar anak untuk kurang ajar kepada Allah dengan tidak menunaikan solat subuh. 

Setiap perkara yang mula dipupuk dengan perkara-perkara lain yang nampak mudah tetapi membina jati diri negatif dalam anak. Ia mula dengan perkara mudah yang tidak disangka!

"Perintahkan anak-anakmu menunaikan solat ketika berusia 7 tahun dan rotanlah mereka jika mereka tidak bersolat pada usia 10 tahun"

Bagi ibubapa yang sekarang ini berusia 35 tahun ke atas pada saat ini, mereka adalah anak-anak yang lahir dari ibubapa yang membesarkan anak dengan kaedah rotan (tidak semua tetapi kebanyakkan). Tidak dinafikan keberhasilannya melahirkan generasi yang bertanggungjawap. Tetapi persoalannya ibubapa yang dibesarkan dengan rotan ini juga tidak mahu anak-anak mereka didenda dengan rotan. Malahan ada guru disaman oleh mereka juga kerana merotan anak mereka! 

Jika dulu saya dirotan guru 3 kali bererti jika bapa tahu saya akan mendapat hadiah rotan sebanyak 3 kali juga. Baiklah diam dan berjanji pada diri untuk ubah sikap! 

Saya masih berpegang pada kaedah merotan walaupun bukan menjadi amalan kerana seingat saya hanya 2 kali saja hukuman rotan dikenakan untuk mengubah sikap anak-anak.  Tetapi rotan itu sentiasa tergantung pada tempatnya walaupun sering diganti kerana hilang. Ia menjadi peringatan dan kegerunan pada anak-anak juga! Jangan lupa jelaskan kepada mereka mengapa mereka mendapat hukuman rotan. 

Bagi saya, anak-anak yang berusia 10 - 14 tahun wajar dirotan untuk mendidik disipilin diri agar membentuk jati diri positif. 

Kunci yang ketiga ... 

Bagi anak-anak remaja yang nakal akan semakin sukar untuk dibentuk jika kunci 1 dan 2 tidak diamalkan sebelum ini. Kata orang, "meletur buluh biarlah dari rebungnya". Namun seperti yang saya katakan tadi, selagi ada kehidupan kita tidak terlambat untuk memperbaiki diri mahupun anak-anak. 


Pada ketika ini perangai anak kita mencerminkan didikan kita terhadap mereka sejak mula dilahirkan. Ini adalah keputusan tanpa sedar kita tentang corak kehidupan mereka. 

Buat ibubapa - anak-anak adalah cermin kita masa lampau.
Buat anak-anak - orang tua adalah cermin kita masa hadapan.

Buluh yang keras jika dipotong kecil-kecil pasti juga boleh dilenturkan. Maka kaedah psikologi penuh kesabaran wajar dipraktiskan di sini. 

Pada ketika ini ibubapa perlu menjadi sahabat baik anak - pendengar yang setia! Anda perlu banyak menggunakan psikologi penuh kesabaran dalam menangani permalasahan anak. Jangan harapkan keputusan sepantas kilat kerana kita membentuk mereka bertahun-tahun untuk membawa sikap tersebut. Untuk mengubahnya kembali juga memakan masa yang panjang. 

Jangan terlalu kasar dan jangan lupa terlalu lembut dengan anak. Perlu ada ketegasan sebagai ibubapa! Ibubapa perlu banyak berdoa... kita buat yang terbaik ... 99% selebihnya kita serahkan kepada Allah swt agar diberikan hidayah untuk berubah. 

Anak remaja perlu dibimbing untuk meniti keremajaan agar tidak tersilap percaturan hidup. 

Pada kajian saya, anak-anak berumur bawah 20 tahun - ajarlah sebanyak mungkin ilmu kehidupan dan umur 20an  - berani mencuba walaupun silap berkali-kali serta belajar dari kesilapan. 


Sekilas pandangan...

Noordin Khalid
Smarts Coach

No comments:

Post a Comment